Pemandu tersepit, lima lagi penumpang cedera dalam nahas di Jalan Kuching-Serian

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SERIAN, 8 Ogos: Seorang lelaki dilaporkan tersepit di dalam kereta yang dipandunya selepas terlibat kemalangan di Batu 36, Jalan Kuching-Serian hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dengan sebuah Toyota Hilux iaitu sekitar jam 11.33 pagi.

Katanya, pemandu (mangsa) Alza dilaporkan tersepit di dalam kereta dan lima lagi penumpang termasuk empat kanak-kanak berjaya keluar sendiri dari dalam kereta.


Anggota dari Balai Bomba Serian yang tiba di lokasi kejadian terus bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan kemudian menyerahkan kepada anggota paramedik untuk tindakan selanjutnya.

Kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.07 tengah hari.— DayakDaily