Pemandu lori tangki minyak nyaris maut, kenderaan dipandu terbalik dan merintangi jalan

Kelihatan sebuah lori tangki minyak yang terbalik dan merintangi jalan.
Advertisement

SIBURAN, Sept 12: Seorang pemandu lori tangki minyak nyaris maut selepas kenderaan berat yang dipandunya terlibat dalam kemalangan sebelum terbalik dan merintangi Jalan Siburan-Serian di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, pemandu lori tersebut dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, insiden berkenaan turut mengakibatkan kesesakan lalulintas dari arah Siburan ke Kuching.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 1.31 petang.

Jelas beliau, sebaik menerima laporan kejadian, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sembilan anggota bomba dari BBP Tabuan Jaya turut bergegas ke tempat kemalangan untuk membantu dalam operasi tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi berkenaan, pasukan bomba mendapati sebuah lori yang membawa muatan petrol dalam keadaan merintangi jalan di situ,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba berusaha melakukan kerja-kerja membersihkan kesan tumpahan minyak.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, pasukan bomba kemudian segera bertindak melakukan kerja-kerja membersihkan kesan tumpahan minyak dengan menggunakan cecair khas.

Katanya, operasi pembersihan tumpahan minyak dilakukan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Operasi mengalihkan kenderaan berat itu giat dijalankan bagi memastikan keadaan lalulintas kembali seperti biasa,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement