Pemandu lori simen maut dalam nahas jalan raya

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam sebuah lori.

MIRI, Sept 22: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang membawa muatan simen hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di bahu jalan di Jalan Miri-Marudi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 petang itu, mangsa, David Banggai Nyuak, 66, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat tersepit di dalam lori tersebut.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.12 petang.

Katanya, sejurus menerima maklumat mengenai insiden berkenaan, sepasukan lapan anggota bomba diarahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati sebuah lori pembancuh simen dalam keadaan terbalik di bahu jalan tersebut.

“Pasukan bomba kemudian memohon bantuan menggunakan jengkaut dari syarikat sawit berdekatan untuk mengangkat bahagian kepala lori tersebut,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, selepas itu pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tersebut ditamatkan pada pukul 4.20 petang,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada warisnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily