– oleh Dean Adam
SIBU, Okt 9: Seorang pemandu lori nyaris maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Tong Lekong di sini semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, pemandu lori berkenaan hanya mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.52 pagi.
Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati sebuah lori lima tan membawa muatan sawit telah melanggar sebuah pokok di bahu jalan berkenaan.
“Sebuah kereta Perodua Kancil juga terbabit dalam nahas tersebut, namun pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama memberitahu, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan pemandu lori yang tersepit.
“Anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada pemandu tersebut sebelum dihantar ke Hospital Sibu,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Buat masa ini, punca kemalangan itu masih lagi disiasat,” ujarnya. — DayakDaily