Pemandu lori nyaris maut, kenderaan dipandu rempuh dua kereta

Kelihatan sebuah lori merempuh dua kereta.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 8: Seorang pemandu lori nyaris maut selepas kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu merempuh dua buah kereta di Jalan Batu Perak berdekatan Kampung Stakan Melayu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.18 petang itu, lelaki berusia 40-an tersebut hanya mengalami kecederaan pada bahagian mukanya.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada pukul 3.20 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Anggota bomba memberikan rawatan kepada pemandu lori.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati sebuah lori telah merempuh dua buah kereta yang diparkir di bahu jalan berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada pemandu atau penumpang yang berada di dalam kedua-dua kereta terbabit,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pemandu lori yang cedera kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan bomba.

Katanya, punca kejadian berkenaan masih lagi dalam siasatan pihak polis.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 4.50 petang,” ujarnya. — DayakDaily