Pemandu lori maut, tersepit dalam kemalangan jalan raya di Mukah

Pasukan Bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

MUKAH, 15 Julai: Seorang lelaki meninggal dunia selepas lori tanker yang dipandunya terbabas menyebabkan dia tersepit dalam kemalangan di Jalan Serupai, Balingian di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 12.57 tengah hari.

Katanya, anggota dari Balai Bomba Mukah terus ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.


“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori tanker muatan gam papan lapis telah terbabas di dalam parit.

“Seorang mangsa merupakan pemandu tersepit di tempat duduk dan telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa yang belum diketahui identitinya itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3 petang. — DayakDaily