Pemandu lori buat kecoh temui ajal di pusat cuci kereta

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Sri Aman.

SRI AMAN, Julai 26: Seorang lelaki maut selepas dipercayai membuat kecoh sebelum ditangkap dan diikat oleh pekerja di sebuah pusat cuci kereta di sini.

Mangsa yang berusia 32 tahun dan juga merupakan seorang pemandu lori meninggal dunia kira-kira pukul 3.15 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan empat individu bagi membantu siasatan.


Kata Denis, berdasarkan maklumat pekerja pusat cuci kereta itu, mangsa dikatakan secara tiba-tiba datang ke premis tersebut dan mencetuskan kekecohan.

“Pekerja pusat cuci kereta terbabit kemudian bertindak menangkap mangsa dan mengikatnya sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Denis memberitahu, sebaik anggota polis tiba di lokasi, mereka mendapati mangsa sudah tidak bernyawa lagi.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan kecuaian,” ujarnya. ā€” DayakDaily