Oleh Dean Adam
KAPIT, Jul 29: Seorang pemandu kren dilaporkan hilang selepas jentera yang digunakan untuk memunggah kayu balak terjatuh ke dalam Nanga Emang, Sungai Rajang, petang semalam.
Mangsa yang dilaporkan hilang dikenalpasti sebagai Kiing Sih Hock, berusia 59 tahun dan berasal dari Sibu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima laporan kejadian itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit pada pukul 7.46 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri selepas kren tersebut terjatuh ke dalam sungai.
“Susulan kejadian itu, penyelia di tempat pemunggahan kayu balak telah membuat laporan polis untuk tindakan susulan,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan bermula pada pukul 9.10 pagi tadi.
Katanya, sepasukan empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit terlibat dalam operasi berkenaan.
“Maklumat terkini akan dikemaskini dari masa ke semasa,” ujarnya.— DayakDaily