Pemandu jengkaut temui ajal selepas jentera terbalik

Kelihatan jengkaut yang dikendalikan mangsa dalam keadaan terbalik.
Advertisement

MIRI, Sept 18: Malang menimpa seorang pemandu jengkaut apabila dia menemui ajal selepas hilang kawalan jentera yang dikendalikannya lalu jentera terbalik dalam satu kejadian di Kampung Lusut di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, lelaki yang berusia 51 tahun tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa difahamkan sedang melakukan kerja-kerja rutin di kawasan pembinaan di situ.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, malang menimpa mangsa apabila jengkaut yang dipandunya tiba-tiba hilang kawalan sebelum ia terbalik.

“Impak kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak dari jengkaut dan mengalami kecederaan pada anggota badannya.

“Rakan mangsa yang menyedari kejadian tersebut kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

Katanya, siasatan awal polis mendapati semasa kejadian cuaca adalah baik.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. — DayakDaily

Advertisement