Pelbagai program dianjurkan sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2019

Fatimah Abdullah (empty dari kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2019.

Oleh Dean Adam

SARIKEI, Ogos 26:  Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2019 akan berlangsung di perkarangan Dewan Suarah dan Sarikei Innovation Center di Jalan Nyelong di sini.

Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2019 yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pelbagai program akan dianjurkan sempena sambutan berkenaan.


Jelasnya, antara aktiviti yang akan berlangsung ialah Program Today 4 Tomorrow (T4T) Sarikei.

“Paling menarik dan dinanti-nantikan ialah sesi Townhall bersama Ketua Menteri Sarawak sebelum Jamuan Teh yang juga akan dihadiri oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak.

“Pada sebelah malamnya pula berlangsung makan malam bersama komuniti,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2019.

Hadir sama ialah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar,
Datu Len Talif Salleh serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Ik Pahon Joyik.

Fatimah menambah, bagi sambutan Hari Malaysia kali ini, tiada perbarisan diadakan.

Jelasnya, persediaan bagi penganjuran program berkenaan sedang giat diadakan di Khemah Utama dan Kawasan Lapang, Taman Selera Baji Jaya Sarikei.

“Raptai Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2019 akan diadakan pada 28 dan 29 Ogos ini,” katanya. — DayakDaily