PELASAR platfom pertemuan masyarakat asal Engkilili, Lubok Antu dan Skrang

Gemong (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Jugah di Majlis Pelancaran PELASAR.

KUCHING, 2 Ogos: Persatuan Kebajikan Masyarakat Asal Engkilili, Lubok Antu Dan Skrang (PELASAR) komited menjaga kepentingan ahli-ahlinya, kata MP Lubok Antu Jugah Muyang.

Ditubuhkan sebagai platfom pertemuan kepada ahli-ahli yang menetap di Kuching, PELASAR katanya merancang pelbagai aktiviti demi kepentingan bersama.

Menurut beliau yang juga Penasihat PELASAR, persatuan akan terus menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang kini seramai 145 orang.


“PELASAR ditubuhkan untuk kita saling berkongsi pengalaman serta membantu ahli-ahli yang di dalam kesusahan.

“Kita juga memberi perhatian khusus kepada pelajaran anak-anak,” katanya di Majlis Makan Malam dan Pelancaran PELASAR di Pusat Konvensyen Penview Sabtu lepas.

Turut hadir Presiden PELASAR Gemong Batu dan lebih 700 ahli serta para jemputan yang lain.

Tambah Jugah, persatuan mungkin membuka keahliannya kepada mereka yang berada di luar Kuching pada masa akan datang.

Pada masa ini jelas beliau, PELASAR hanya dibuka kepada mereka yang menetap di Kuching termasuk Bau, Samarahan dan Serian. — DayakDaily