KUCHING, 30 Julai: Pelaksanaan had jawatan Perdana Menteri tidak lebih 10 tahun seperti ketetapan yang dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) sebelum ini perlu diteliti dengan mendapat pandangan pelbagai pihak.
Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kesan baik atau buruk perkara itu perlu dirunding mengikut kesesuaian keadaan semasa.
Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen mengambil contoh pemimpin negara jiran (Indonesia) yang menghadkan tempoh pemegang jawatan Presiden untuk dua penggal sahaja.
“Tetapi apabila prestasi Presiden (Indonesia) sekarang amat cemerlang, ada suara-suara yang mahukan Presiden itu disambung semula perkhidmatannya, namun peruntukan undang-undang sedia ada tidak membenarkannya.
“Itu yang menjadi isu atau polemik yang sedang dibincangkan di negara jiran sekarang dan oleh sebab itu kita harus melihat adakah ia sesuai dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selesai merasmikan Pejabat Sekretariat Dan Pelancaran Logo Sambutan Ulang Tahun Ke 50 Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) di Wisma Saberkas di sini, hari ini.
Majlis presiden Pakatan Harapan (PH) semalam mendesak supaya tuntutan had masa perdana menteri 10 tahun seperti yang dimeterai MoU sebelum ini dilaksanakan.
Tambah Fadillah lagi, kajian berhubung pelaksanaan tuntutan tersebut perlu melihat input dari pelbagai sudut.
Katanya, ia bukan sahaja dari parti politik tetapi juga perlu mendapatkan pandangan tokoh akademik dan orang ramai.
“Dengan penelitian ini barulah kita mendapat satu dasar yang inklusif,” katanya. — DayakDaily