KUCHING, Mac 7: Pelajar dan graduan Kolej Vokasional (KV) di negeri ini diharapkan dapat menyahut cabaran menguasai teknologi pembuatan “kereta terbang” mengunakan latihan teknikal dan kemahiran vokasional dipelajari mereka.
Timbalan Pengarah Pengoperasian Sekolah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional KPM, Datuk Haidzir Hussin berharap mereka menyahut cabaran itu dan tidak menanggapnya sebagai mustahil berikutan baharu-baharu ini ada kedengaran hasrat negara untuk menceburi bidang penghasilan kereta terbang.
“Jadi mungkin kalau tidak tiga tahun, mungkin lima tahun atau 10 tahun akan datang di angkasa kita ini akan berterbangan kereta terbang dan kita harap pelajar vokasional kita menguasai cabaran baharu ini. Kalau benda itu (kereta terbang) dah terfikir di kepala, satu hari nanti akan terhasil dan ada laluan dan tempat mendarat bagi kereta terbang,” katanya ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara KPM dan Pihak Industri dan Nota Kerjasama (NOU) KV Matang Bersama Pihak Industri di Institut Perguruan Guru Kampus Kampus Batu Lintang, di sini, semalam.
Sebanyak 46 MOU telah ditandatangani bagi 10 program di KV Matang bagi membolehkan pelajar kolej terbabit menjalani latihan industri empat hingga lima bulan dengan majlis juga dihadiri Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Les Met, Pengarah Institut Perguruan Guru Kampus Batu Lintang, Jamiran Salam dan Pengarah KV Matang, Mohamad Sahran Amin.
Haidzir berkata bukan setakat sahaja menguasai teknologi penghasilan kereta terbang malahan pelajar dan graduan KV di negeri ini dalam bidang teknologi dan kemahiran juga boleh menghasilkan kenderaan terbang yang lain termasuk motosikal terbang.
“Jadi tidak mustahil satu hari nanti basikal pun terbang dan motosikal pun terbang di atas sana. Tidak mustahil…..tengok cerita Star Wars, orang berperang diatas mengunakan motosikal terbang, skuter terbang dan sebagainya,” katanya.
Katanya cabaran terbabit kini bukan mustahil sekiranya dikaitkan dengan perkembangan teknologi yang begitu pantas dari Revolusi Perindustrian 4.0. yang mengunakan Internet of Things (IoT), kemahiran robotik, kecerdasan buatan, kenderaan elektrik, percetakan tiga dimensi, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penyimpanan tenaga dan pengkomputeran kuantum.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendedahkan pembinaan prototaip kereta terbang pertama negara yang menggunakan kepakaran tempatan.
Prototaip kereta terbang ini sudah siap dan dijangka akan membuat kemunculan pertama tahun ini dan ianya beraltitud rendah, berkelajuan perlahan dan selamat.
Sementara itu, Haidzir di majlis itu juga mendedahkan pelajar KV di negara ini berpeluang mendapat pekerjaan kerana dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RM-11) menjangkakan akan mewujudkan sebanyak 1.5 juta peluang perkerjaan dalam pelbagai sektor dengan sasaran sebanyak 60 peratus perkerjaan terbabit memerlukan kemahiran bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Jadi peluang pelajar dan graduan KV masih terbuka luas, kalau kita tengok tiga kumpulan (graduan KV) yang kita hasilkan itu tak sampai pun 60,000 orang, sedangkan kita ada 1.5 juta peluang perkerjaan di luar sana,” katanya.
Manakakala dari segi kebolehpasaran graduan KV, kohort pertama 2016 seramai 2,273 kini 100 peratus sudah bekerja, kohort kedua 2017 pula sebanyak 96.47 peratus sudah bekerja dari seramai 12,997 graduan.
Bagi kohort ketiga 2018 yang tamat graduasi September tahun lepas, telah menghampiri 80 peratus sudah bekerja. — DayakDaily