Pekerja temui bungkusan dipercayai bahan letupan di Metrocity Matang

Anggota polis sedang menyediakan peralatan khas untuk tindakan selanjutnya.

KUCHING, April 20: Masyarakat umum serta para pekerja di sekitar Matang di sini gempar dengan penemuan satu bungkusan yang dipercayai mengandungi bahan letupan yang diletakkan di sebuah premis di pusat komersial Metrocity Matang di sini hari ini.

Bungkusan pelik tersebut ditemui oleh para pekerja pembersihan di kawasan pusat komersial itu kira-kira pukul 1.30 petang.

Panik dengan penemuan itu, pekerja berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.


Ketua Polis Daerah Kuching, Acp Ng Ah Lek mengesahkan menerima maklumat berhubung penemuan bungkusan pelik itu.

Katanya, sepasukan anggota polis dari Unit Pemusnah Bom kemudian diarahkan ke lokasi berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Kelihatan pasukan polis sedang melakukan operasi di Metrocity Matang.

“Unit Anjing Pengesan atau Unit K9 turut dikerahkan ke tempat penemuan bungkusan itu bagi membantu unit pemusanah bom.

“Selepas melakukan pemeriksaan, bungkusan tersebut kemudian dimusnahkan dengan menggunakan peledak khas,” katanya di sini hari ini.

Ng menambah, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan yang dimusnahkan itu bukannya bahan peledak sebenar.

“Operasi itu ditamatkan selepas pasukan polis mendapati kawasan tersebut bebas dan selamat dari ancaman bom,” katanya lagi. — DayakDaily