Oleh Dean Adam
SIBU, Jan 26: Seorang pekerja pembersihan kerugian sebanyak RM21,600 akibat terpedaya dengan sindiket ‘love scam’.
Kejadian itu melibatkan seorang wanita yang berusia 52 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya bernama Richard Ward melalui aplikasi Facebook (FB) pada Ogos 2018.
Katanya, lelaki itu kemudian mengatakan dirinya berasal dari Australia dan bekerja sebagai jurutera.
“Pengadu (mangsa) seterusnya telah bercinta dengan Richard dan pada 14 Januari lepas, suspek kemudian memberitahu mangsa dia telah sampai di Kuala Lumpur tetapi wang yang dibawanya telah dirampas oleh pegawai Kastam.
“Kemudian mangsa telah dihubungi seorang perempuan dan meminta mangsa memasukkan wang ke akaun RHB Bank atas nama Rodiyah Dulah Ngusma untuk pembayaran kepada pihak Kastam kerana teman lelaki mangsa membawa wang yang banyak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Mustafa menambah, pada hari yang sama, mangsa telah melakukan dua transaksi wang berjumlah RM8,000 ke akaun berkenaan.
Katanya, keesokan harinya, suspek kemudian telah meminta mangsa untuk memasukkan wang ke akaun CIMB Bank atas nama Nurzahirah Hidzir sebagai wang perbelanjaannya.
“Mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM2,100 ke akaun berkenaan melalui empat kali transaksi.
“Pada 23 Januari lepas, mangsa telah dihubungi kononnya Pegawai Maybank yang mengatakan ada cek bernilai US$300,000 telah diserahkan oleh Richard untuk dimasukkan ke akaun mangsa.
“Pegawai bank itu turut mengatakan mangsa perlu membuat pembayaran sebanyak RM30,000 untuk mendapatkan cek tersebut,” katanya.
Seterusnya kata Mustafa, mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM11,500 melalui lima kali transaksi ke akaun Maybank atas nama Nor Azliana Said.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah menceritakan perkara ini kepada rakannya.
“Jumlah kerugian yang dialami mangsa ialah sebanyak RM21,600,” katanya. — DayakDaily