Oleh Dean Adam
MIRI, Jan 4: Malang menimpa seorang pekerja ‘offshore’ apabila dia maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Miri Bypass di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai James Menda, 53.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal BMW R1200 serta tiga kenderaan lain iaitu Honda Civic, Toyota Hiace dan Toyota Hilux.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Honda Civic yang dipandu oleh lelaki berusia 27 tahun secara tiba-tiba masuk ke simpang kanan tanpa menyedari kehadiran motosikal yang ditunggang mangsa.
“Kejadian itu mengakibatkan mangsa gagal memberhentikan motosikalnya lalu bertembung dengan kereta tersebut,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson menambah, impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikal kemudian dilanggar sebuah Toyota Hilux yang berada di depan sebuah van.
“Kesan rempuhan kuat tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bagaimanapun, tiga pemandu serta penumpang mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Tambah Alexson, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily