Pekerja kolam ternakan udang warga Indonesia dilaporkan hilang

Pihak Bomba melakukan operasi permantauan di tempat kejadian.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Jun 7: Seorang pekerja kolam ternakan udang di Jalan Rambungan, dekat sini, dilaporkan hilang hari ini.

Mangsa, Bertus Aleng, 29, yang juga merupakan seorang warga Indonesia dilaporkan hilang oleh pengurus kolam udang berkenaan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 3.20 petang.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikhuatiri hilang setelah melakukan aktiviti memotong rumput di sekitar kawasan kolam ternakan udang berkenaan.

Mesin memotong rumput mangsa ditemui di lokasi.

“Pada awalnya, si pelapor menyangka mangsa tiada kelihatan kemungkinan untuk berehat memandangkan hanya peralatan menebas rumput dan pakaiannya ditinggalkan di lokasi.

“Namun sekembali si pelapor ke lokasi, mangsa masih juga tidak kelihatan. Usaha mencari mangsa kemudian dilakukan oleh pekerja lain, namun gagal menjumpai mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pengurus ladang berkenaan terus membuat laporan polis sebelum pihak bomba dimaklumkan berhubung kes itu bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu telah lokasi bersama pihak polis bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Unit PPDA telah dihubungi bagi bersiap sedia sebarang kemungkinan mangsa hilang akibat terjatuh ke dalam kolam. Maklumat lanjut akan dikemaskini dari masa ke semasa,” ujarnya. — DayakDaily