Pekerja kapal warga India ditemui mati lemas

Anggota penyelamat mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati lemas.

SIBU, Sept 7: Seorang lelaki warga India yang dipercayai hilang selepas terjatuh dari kapal di Sungai Rajang di sini hari Khamis ditemui mati lemas semalam.

Mangsa, Haris Kumar, 24, berjaya ditemui pasukan penyelamat dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira pukul 4.45 petang.

Jurucakap APM berkata, mangsa ditemui kira-kira 10 meter dicelah-celah tongkang di mana mangsa terjatuh sebelum ini.


Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua itu ditamatkan pada pukul 5 petang,” katanya di sini semalam.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga India dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sebuah kapal di Sungai Rajang di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, mangsa dikatakan terjatuh semasa hendak masuk ke sebuah kapal lain.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa dari Balai Polis Lanang untuk membantu operasi mencari mangsa.

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa dikatakan jatuh ketika hendak keluar dari kapal tempatnya bekerja untuk masuk ke kapal yang bersebelahan,” katanya. ā€” DayakDaily