Pekerja jadi ‘hero’ padam kebakaran di stesen minyak di Sibu

Gambar komposit insiden kebakaran di stesen minyak di Sibu.
Advertisement

SIBU, 27 Julai: Tindakan pantas beberapa pekerja di sebuah stesen minyak di Jalan Brother Albinus, di sini berjaya memadamkan kebakaran di premis tersebut hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.33 pagi.

Susulan itu, beberapa anggota dari Balai Bomba Sibu dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Advertisement

“Kebakaran tidak melibatkan struktur serta pam minyak dan ia berjaya dipadamkan oleh pekerja stesen minyak dengan menggunakan 11 unit alat pemadam api jenis debu kering sebelum ketibaan pihak Bomba.

“Pasukan Bomba kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan semasa kejadian, sebuah lori tangki minyak sedang mengisi minyak bawah tanah.

“Manakala pekerja sedang membuka penutup tangki minyak di bawah tanah dan berlaku pengwapan.

“Dalam masa sama, sebuah van melintas masuk ke dalam stesen minyak menyebabkan berlakunya kebakaran,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Juateru, Bomba turut menasihatkan orang ramai agar mengelak masuk ke dalam stesen sekiranya pihak stesen minyak sedang mengisi minyak ke dalam tangki bawah tanah.

“Ini untuk mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada jam 11.38 pagi.

Hadir sama di lokasi kejadian ialah anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). — DayakDaily

Advertisement