Pejabat Felcra Tanjung Assam, Betong musnah dalam kebakaran

Anggota Bomba dari BBP Betong memadamkan saki baki api di lokasi kebakaran.

KUCHING, OKT 5: Bangunan Pejabat Felcra di Tanjung Assam, Betong mengalami kebakaran pada petang ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Negeri Sarawak, pihaknya menerima panggilan pada 2.40 petang.

“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya bomba di lokasi, kebakaran melibatkan kebakaran bangunan pejabat struktur satu tingkat jenis tidak kekal dan telah terbakar 100 peratus,” menurut kenyataan.

Kebakaran dilaporkan terkawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4 petang.

Kenyataan juga memaklumkan yang kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.— DayakDaily