Pecah amanah kerani wanita sebuah ladang sawit di Niah dicekup polis

PDRM logo

MIRI, 10 Mac: Perbuatan seorang juruwang wanita sebuah syarikat buah kelapa sawit di Niah menyonglap wang sebanyak RM401,720.16 membawa padah apabila ditahan pihak polis pada Khamis untuk siasatan lanjut.

Wanita berusia 32 tahun itu ditahan susulan satu laporan polis yang diterima daripada pegawai eksekutif syarikat terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, pengadu membuat laporan polis selepas mendapat tahu daripada pelanggan bahawa suspek tidak menyerahkan bayaran kepada mereka selepas jualan buah kelapa sawit bagi tempoh 23 November tahun lepas sehingga 7 March tahun ini.


Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek telah melakukan kesalahan pecah amanah jenayah dengan menggunakan wang milik majikan untuk kepentingan peribadi dan tidak membuat bayaran kepada pelanggan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah Amanah oleh kerani.

Hukuman jika disabit kesalahan adalah penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat dan denda. — DayakDaily