PDRM diseru lebih terbuka luluskan pemohonan permit hantar bekalan makanan ke kawasan PKPD

Abang Zulkifli Abang Engkeh

KUCHING, 29 April: Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seru untuk lebih terbuka dalam meluluskan sebarang pemohan permit daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang ingin menyampaikan derma khususnya bekalan barangan makanan.

Timbalan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, keterbukaan pihak polis dalam hal itu penting memandangkan usaha itu akan dapat membantu penduduk khususnya di luar bandar yang amat memerlukan bantuan berkenaan.

“Penduduk di kawasan luar bandar ini amat sukar untuk mendapatkan bekalan makanan terutamanya apabila dilakukan atau dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan mereka yang secara tidak langsung mengakibatkan mereka boleh terputus sumber bekalan makanan,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 sehingga menjurus kepada perlaksanaan PKPD telah menjejaskan ramai pihak dan antara yang paling teruk terjejas adalah penduduk yang tinggal di luar bandar atau di kawasan rumah panjang.

Situasi tersebut, katanya, secara tidak langsung menyebabkan aktiviti harian penduduk dikawasan terbabit tidak dapat dilaksanakan lalu mengakibatkan kebanyakan penduduk ini bergantung harap kepada bekalan makanan yang dihantar atau didermakan kepada mereka.

Abang Zulkifli berkata, sebelum ini, pihaknya pernah memohon permit bagi tujuan penghantaran bekalan makanan ke kawasan PKPD namun permohonan terbabit tidak diluluskan oleh pihak polis.

“Saya berkata demikian kerana pada minggu lepas kita pernah memohon untuk permit tersebut dengan surat rasmi daripada PKR Sarawak namun ia tidak diluluskan sekaligus membantutkan usaha kita untuk menghantar bekalan makanan tersebut ke kawasan yang dikenakan PKPD berkenaan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap pihak olis lebih terbuka dengan hasrat mana-mana parti politik, NGO atau orang perseorangan yang mahu membantu dalam menyampaikan atau menghantar bekalan makanan ke kawasan yang diletakkan di bawah PKPD khususnya di kawasan luar bandar.

Ini kerana dengan penghantaran bekalan makanan terbabit ia akan sedikit sebanyak mengurangkan beban dan tekanan yang dihadapi oleh penduduk yang berada dibawah arahan PKPD terbabit. — DayakDaily