PDP tidak jangka boleh hilang dua kerusi Parlimen

Datuk Seri Tiong King Sing

BINTULU, Mei 11: Parti Demokratik Progresif (PDP) tidak menjangka kehilangan dua kerusi Parlimen kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya akan membuat ‘post mortem’ berhubung kekalahan itu dalam masa terdekat.

“Kami tidak jangka boleh kalah dua kerusi Parlimen Saratok dan Mas Gading, saya tidak boleh mengulas lanjut dahulu sebelum post mortem dilakukan,” katanya di sini.


Dalam pada itu, beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Bintulu melahirkan penghargaan kepada para pengundi yang masih setia menyokongnya dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kemenangan beliau yang menewaskan cabaran calon DAP dan STAR merupakan hasil sokongan padu daripada pengundi Iban dan Melayu.

“Kemenangan ini mustahil untuk dicapai tanpa sokongan kuat semua pengundi khususnya mereka di kawasan luar bandar.

“Faktor ini khususnya penting kerana ia membuktikan parti BN masih diterima di luar bandar. Sehubungan itu, saya mahu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pengundi dari semua kaum dan semua usia, serta dari seluruh Bintulu atas keyakinan dan sokongan padu anda,” katanya lagi. — DayakDaily