PDP presiden: Mari memperjuangkan hak negeri Sarawak

Datuk Seri Tiong King Sing (empat dari kanan) bersama pengamal media di negeri ini pada Malam Media PDP 2018 di Alfresco, Hock Lee Centre, Padungan, di sini, semalam.

KUCHING, Dis 30: Parti Demokratik Progresif (PDP) mahu pengamal media di negeri ini terus memberikan kerjasama kepada parti terbabit dalam memperjuangkan hak negeri Sarawak.

Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata demikian dan pihaknya juga mahu pengamal media membantu parti itu yang dalam komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS)  memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat negeri ini.

“Kita perlu bekerjasama bagi melakukan yang terbaik bagi Sarawak dan memperjuangkan hak Sarawak,”katanya ketika menghadiri Malam Media PDP 2018 di Alfresco, Hock Lee Centre, Padungan, di sini, semalam.


Tiong King Sing sehubungan itu meminta pengamal media di negeri ini memberikan sokongan kepada PDP menambahbaik perkhidmatannya kepada rakyat Sarawak dan mengatasi sebarang kekurangan.

“Terima kasih kerana selama ini memberikan kami sokongan, diharapkan sekiranya ada kekurangan dalam parti kami, kamu (media di Sarawak) dapat memberikan kami sokongan,”katanya.

Selain itu beliau mengakui pengamal media juga ada memaklumkannya mengenai ahli PDP yang telah mampu berkhidmat dengan baik kepada rakyat dan berharap ini dapat diteruskan lagi tahun hadapan.

“Saya berharap ini diteruskan dan apa sahaja yang baik kepada rakyat Sarawak, tahun hadapan kita bersama memperjuangkan dan melakukannya kepada rakyat, saya percaya kita mampu melakukannya”katanya dan berazam mengadakan lagi acara malam media itu tahun hadapan.

Majlis terbabit juga dihadiri Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PDP, Datu Dr Penguang Manggil dan Setiausaha Agung PDP, Datuk Nelson Balang Rining. – DayakDaily