Oleh Peter Sibon
KUCHING, Feb 25: Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan membuka ruang kepada parti-parti dari Semenanjung untuk mengawal terus Sarawak jika PH berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan negeri Sarawak yang sedia ada sekarang.
Menurut Ketua Penerangan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Bobby William, dengan PH Sarawak dijangka bertanding dalam semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12(PRN12) akan datang, ada kemungkinan pemimpin dari Semenanjung juga akan bertanding di Sarawak untuk membuka peluang kepada mereka secara terus mengambil alih kuasa di negeri ini.
“Jika pemimpin-peminpin PH boleh bertanding dimana-mana kawasan di Semanjung dan mereka telah menang, maka besar kemungkinan pemimpin-pemimpin kanan PH Semenanjung akan bertanding di PRU12 nanti.
“Dan jika mereka menang, maka besar kemungkinan mereka akan dilantik terus oleh PH pusat untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baharu,” kata Bobby kepada DayakDaily disini hari ini.
Justeru beliau mengingatkan pengundi-pengundi Sarawak supaya berhati-hati dengan helah parti politik yang dikuasai oleh mereka yang berasal dari Semanjung dalam PRU12 yang bakal diadakan nanti.
“Jangan ‘nasi sudah menjadi bubur’ baru kita bertindak. Keiklasan harus dilihat dari muslihat yang cuba mereka lakukan terutama sekali PPBM yang diterajui oleh Perdana Menteri.
“Kita menolak Bersatu masuk Sarawak kerana Bersatu adalah jelmaan Umno. Dan Pendana Menteri selaku pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mahathir telah menerima kemasukan ahli-ahli Umno. Ini adalah tindakan yang membelakangkan pilihan rakyat yang telah mengundi PH pada PRU14 lepas,” kata beliau.
Bobby juga menyeru masyarakat Dayak agar tidak menyokong Bersatu kerana parti tersebut pada asasnya adalah untuk orang Melayu sahaja.
“Ini hanya akan memudaratkan lagi politik Dayak dengan hanya menjadi penumpang politik sahaja. Dayak harus bersatu di bawah PBDSB kerana kekuatan politik Dayak hanya akan dapat dijayakan dengan kesepakatan kuasa politik.
“Bak kata mendiang mantan presiden PBDS Dato’ Sri Daniel Tajem, politik Dayak bagaikan kaca ‘pecah seribu’ dan ini hanya akan melemahkan Dayak dan menguntungkan golongan elit minoriti terutama nya dalam memonopoli tanah dan ekonomi Sarawak,” kata beliau.
Bobby juga berkata bahawa Bersatu seharusnya melakukan tekanan politik ke atas GPS berhubung isu pemilikan tanah adat (NCR).
“Tetapi, sebaliknya Bersatu seakan membiarkan Baru Bian bersendirian dalam isu ini. Kemasukan Bersatu ke Sarawak bakal memberi gambaran negatif terhadap kekuatan PH Sarawak yang selama ini didukung oleh DAP.
“Kehadiran Bersatu akan memecahkan undi rakyat Sarawak dan hanya merugikan PH dan Sarawak Baru dan sebaliknya menguntungkan GPS.
“Adakah YAB Tun Dr Mahathir dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin meragui kekuatan PH Sarawak?,” tanya Bobby. — DayakDaily