PBDS gesa kerajaan teliti kebenaran rentas daerah pada Fasa 3 PPN

Bobby William

KUCHING, 3 Ogos: Kebenaran merentas daerah pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) harus diteliti dengan sebaiknya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menurut Presiden Parti Bangsa Dayak Sarawak(PBDS) Bobby William, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) harus diberi kuasa sepenuhnya untuk mengawal bahagian masing-masing.

“JPBB harus diberi kuasa untuk menetapkan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) berhubung pergerakan rentas daerah yang melibatkan bahagian masing-masing.


“Ini penting dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarawak akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok, 4 Ogos.

Dalam pada itu, PBDS, tambah Bobby, bersetuju dengan cadangan MP Bintulu Dato Sri Tiong King Sing bahawa bahagian tersebut memiliki SOP sendiri berkaitan pergerakan masuk ke bahagian tersebut.

Katanya, ia adalah cadangan yang baik dan seharusnya diikuti bahagian lain seperti Limbang, Kuching, Miri dan Sibu.

“Bahagian-bahagian ini menjadi laluan masuk bagi mereka yang dari luar Sarawak dan harus memiliki SOP yang ketat.

“Sarawak harus menjadi negeri pertama bebas daripada wabak Covid-19 seperti negara Brunei,” ujar beliau.

Bobby juga menyokong cadangan Tiong bahawa mereka yang ingin memasuki Bintulu harus menjalani ujian saringan Covid-19.

Jelas beliau, ini berikutan adanya kes individu positif walaupun telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Namun, tanya beliau, memandangkan bayaran untuk ujian saringan tersebut adalah tidak kurang dari RM300, siapakah yang akan menanggung kos tersebut.

“Adakah MP Bintulu bersedia untuk membiayai kos ujian saringan tersebut?

“Bagi mereka yang bergerak atas urusan kerja mungkin tidak menjadi masalah kerana majikan akan menanggung kos,” kata Bobby lagi. — DayakDaily