PBB Zon Tengah sokong Abang Johari terus sebagai ketua menteri

Abang Johari (empat dari kanan) menyentuh skrin I-pad sebagai simbolik merasmikan Konvensyen PBB Zon Tengah. Turut kelihatan Fatimah (empat dari kiri).

Oleh Chris Bishop

SIBU, 3 Okt: Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah menyatakan sokongan penuh kepada presiden parti Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk terus memimpin Sarawak sebagai ketua menteri.

Naib Presiden PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, para perwakilan turut memberi sokongan penuh kepada Abang Johari untuk mengetuai perjuangan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 seterusnya menang dengan cemerlang.


Sokongan tersebut antara empat perkara utama yang diusulkan oleh 1,000 para perwakilan dari 25 cawangan Zon Tengah dari Kuala Rejang hingga ke Belaga.

Ia merangkumi empat kawasan parlimen iaitu Kapit, Tanjong Manis, Igan dan Mukah.

Selain sokongan kepada presiden kata Fatimah, usul juga menyarankan agar kerajaan menubuhkan Coastal Area Development Agency (CADA) bagi melengkapkan pembangunan Sarawak secara holistik dan inklusif di kawasan pesisiran.

“Memantapkan usaha dan meningkatkan kesegeraan penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Menggubal semula dasar mengenai hasil sumber asli yang kaya di Zon Tengah seperti hutan, kayu, arang batu, pasir dan hidro agar lebih menguntungkan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Para perwakilan turut mencadangkan agar kerajaan memberi bantuan awal pendidikan RM300 hingga RM1,000 kepada anak-anak Sarawak.

Kata Fatimah, yang juga ketua Pergerakan Wanita PBB, ia khusus untuk mereka yang ditawarkan melanjut pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah di mana-mana institusi pengajian tinggi Malaysia.

Usul lain ialah menggesa agar kerajaan persekutuan mewujudkan semula Jawatankuasa Khas di Sarawak bagi menangani masalah kanak-kanak Sarawak yang masih tiada dokumen pengenalan diri dan status kewarganegaraan mereka belum ditentukan.

“Keadaan ini sekiranya dibiarkan berterusan boleh memberi kesan negatif seperti keterabaian pendidikan dan  kebajikan yang boleh menjejaskan masa depan kanak-kanak tersebut,” ujar Fatimah.-DayakDaily