PBB pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Iswardy

Datuk Idris Buang

KUCHING, 29 Mei: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang pertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Iswardy Morni.

Menurut Idris, tindakan Iswardy yang secara lantang memaki hamun dan menghasut rakyat agar membenci kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggunakan bahasa kesat di media sosial adalah keterlaluan.

“Senang-senang kamu menghasut, menyemarak kemarahan rakyat untuk membenci kerajaan adalah salah.

“Saya menuntut kepada kamu agar tidak mengunakan bahasa kesat seperti jaharu dan jahanam, ia adalah kasar.

“Saya akan mengkaji secara undang-undang sama ada anda (Iswardy) boleh didakwa dan saya akan mengarahkan kakitangan PBB untuk membuat laporan polis.

“Senang senang sahaja kamu menghasut seolah olah kamu sahaja yang pandai,” katanya semasa bersiaran langsung menerusi Facebook Kamek Miak Sarawak hari ini.

Iswardy semasa bersiaran langsung di Facebook beliau semalam menuduh kerajaan negeri gagal menangani isu pandemik Covid-19 selain menuduh GPS angkuh dengan tidak mengikut penguatkuasaan ‘Total Lock-Down’ yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia mulai 1 Jun ini.

Membalas serangan Iswardy itu, Idris yang juga Adun Muara Tuang berkata, kerajaan GPS memiliki sekumpulan doktor pakar yang diketuai Dr Andrew Kiyu yang menasihati Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

“Kita mempunyai langkah-langkah berbeza, tetapi telah diperinci dengan begitu rapi sekali agar lebih tepat dengan harapan semua rakyat menjaga SOP di dalam norma norma baharu.

“SOP untuk menjaga rakyat, supaya tidak perlu kita laksanakan ‘total lock-down’ yang boleh membawa kepincangan dari segi ekonomi, manusia pun boleh jadi gila.

“Hanya satu dua tempat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), kita menguruskan pandemik Covid-19 secara makro bukan mikro,” ujar Idris lagi. — DayakDaily