“PBB ditolak di Beting Maro, desak beri laluan kepada PAS”

Hamdan Sani

KUCHING, 10 Ogos: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak yakin dapat menawan DUN Beting Maro pada Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

Menurut Ketua Pemudanya Hamdan Sani, PAS perlu diberi laluan untuk bertanding untuk memastikan Beting Maro tidak jatuh ke tangan parti lawan Perikatan Nasional (PN).

“Pencapaian PAS sejak bertanding di DUN Beting Maro kian meningkat sehingga pilihanraya negeri yang lepas.


“Hakikatnya, kemenangan Parti Pesaka Bumiputera (PBB)di Beting Maro hanya dengan majoriti 1,000 undi adalah isyarat penolakan rakyat yang tidak berganjak walaupun ketika itu PAS bersendirian.

“Sudah pasti jika PAS tidak mempertahankan kerusi ini, undi pasti beralih kepada parti lain dan bukannya PBB,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Hamdan lagi, PAS memiliki sejumlah undi yang besar di Beting Maro dan ia akan terus kukuh.

Katanya, ini adalah kerana kekuatan semasa PAS yang memiliki 30 cawangan dan lebih 3,000 pengundi dan penyokong setia.

“Undi ini akan pecah sekiranya PAS tidak bertanding. Disinilah jiwa besar PBB diperlukan agar menyedari hakikat tersebut,” ujar beliau. — DayakDaily