LUNDU, 22 Feb: Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki negara ini melalui jalan yang tidak sah di Telok Melano, di sini berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak semalam.
Komandernya SAC Mancha Ata berkata semasa kejadian, anggotanya membuat rondaan Op Benteng iaitu sekitar jam 4.40 petang.
Beliau memberitahu, anggota terserempak dengan kumpulan Pati terbabit yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita.
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka kemudian diarahkan berpatah balik dan kemudian diiringi petugas KOMTEK untuk kembali ke negara asal mereka melalui sempadan Malaysia-Indonesia,” katanya.
Jelasnya tindakan diambil di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959(Akta 155) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkir 1988.
“Tiada sebarang kekerasan dan pemeriksaan fizikal ssmasa proses pemeriksaan dan pengusiran dilakukan,” katanya. — DayakDaily