Pasukan Unit Saberkas Hasrat A menang pertandingan futsal KASUS

Lo (berdiri baris belakang, lima kanan) bersama Ahmad (berdiri baris belakang, empat kiri) menyampaikan hadiah kepada pasukan Unit Saberkas Hasrat A yang menjuarai pertandingan futsal KASUS 2019 Peringkat Cawangan Batu Kitang di Kompleks Sukan Stakan, Kota Sentosa di sini tadi.

KUCHING: Pasukan Unit Saberkas Hasrat A dari Kampung Paya Mebi mengekalkan kejuaraan dalam pertandingan futsal Karnival Sukan Saberkas (KASUS) 2019 Peringkat Cawangan Batu Kitang hari ini.

Pasukan tersebut sekali gus merangkul Piala Pusingan Lo Khere Chiang, wang tunai RM1000, piala serta pingat.

Manakala tempat kedua dimenangi pasukan Unit Saberkas TSP dari Taman Sri Permai, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500, piala serta piala.

Tempat ketiga dan keempat pula disandang oleh pasukan Unit Saberkas Kabura FC dari Kampung Keranji dan Unit Saberkas Dangak FC dari Kampung Dangak yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300 dan RM200, piala serta pingat.

Pertandingan badminton pula diungguli pasukan Unit Saberkas Bunga Rampai, dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM200, piala serta pingat manakala tempat kedua pasukan Unit Saberkas Kampung Paya Mebi yang menerima wang tunai RM160, pingat serta piala.

Lo (berdiri, tiga kanan) dan Ahmad (berdiri empat kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar dengan pasukan Unit Saberkas Bunga Rampai yang menjuarai pertandingan badminton KASUS 2019 Peringkat Cawangan Batu Kitang di Kompleks Sukan Stakan, Kota Sentosa di sini tadi.

Tempat ketiga disandang bersama oleh pasukan Unit Saberkas Kampung Haji Baki dan Unit Saberkas Kampung Sandong, yang masing-masing menerima wang tunai RM120, piala serta pingat.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang yang juga pengerusi Saberkas Cawangan Batu Kitang Lo Khere Chiang dan Timbalan Pengerusi Saberkas Cawangan Batu Kitang yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Datuk Ahmad Ibrahim.

Hadir sama Setiausaha Saberkas Cawangan Batu Kitang Shamsudin Unai.

KASUS 2019 Peringkat Cawangan Batu Kitang yang berlangsung pada 27 dan 28 Julai lalu di Kompleks Sukan Stakan, Kota Sentosa merupakan platform untuk Saberkas Cawangan Batu Kitang membuat pemilihan pemain bagi mewakili cawangan dalam kedua-dua acara untuk Kejohanan KASUS Sarawak yang dijadual diadakan tahun depan.

Sementara itu, acara sukaneka turut disertai oleh kanak-kanak dari 11 buah tadika di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang termasuk ibu bapa mereka.— DayakDaily