Pasukan tentera tumpaskan cubaan seludup minimum keras

Anggota tentera menahan suspek bersama tujuh kotak minuman keras.

SERIAN, April 20: Cubaan seorang remaja lelaki warga Indonesia untuk menyeludup keluar tujuh kotak minuman keras berjaya ditumpaskan anggota tentera dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) di kawasan Ladang Tetangga Akrab, Tong Nibong di sini hari ini.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, lelaki warga Indonesia yang berusia 19 tahun itu diberkas kira-kira pukul 8 pagi.

Katanya, sebelum tangkapan itu dilakukan, lapan anggota tentera yang sedang melakukan Ops Serkap telah mengesan pergerakan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan tentera kemudian menahan lelaki itu sebelum menemui tujuh kotak minuman keras dan setiap kotak mengandungi 24 botol.

“Hasil siasatan lanjut mendapati remaja itu berasal dari Balai Karangan, Indonesia dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya di sini hari ini.


Jurucakap sama menambah, anggota tentera turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Repo tanpa nombor pendaftaran dari negara jiran.

Katanya, suspek bersama barangan rampasan yang dianggarkan sebanyak RM800 telah dibawa ke Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut. — DayakDaily