Pasukan tentera 13 RAMD tahan suspek curi motosikal

Pasukan tentera 13 RAMD berjaya menahan suspek curi motosikal (empat dari kiri) di Kampung Tong Nibong.

SERIAN, April 17: Cubaan empat warga Indonesia menyeludup keluar motosikal curi dari negeri ini membawa padah apabila seorang daripada mereka ditahan pasukan tentera dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD), tengah malam tadi.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, kegiatan empat warga Indonesia yang mencurigakan itu dikesan sepasukan anggota tentera di kawasan Kampung Tong Nibong pada pukul 12.45 tengah malam.

Katanya, curiga melihat pergerakan empat lelaki warga Indonesia di kawasan laluan tikus di situ, pasukan tentera kemudian bertindak menahan mereka.


“Bagaimanapun, apabila menyedari pasukan tentera cuba menahan motosikal yang dinaiki, pendatang asing tanpa izin tersebut telah bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang dinaiki mereka.

“Pasukan tentera yang bertindak mengejar suspek hanya berjaya menahan seorang daripada empat lelaki terbabit, manakala tiga yang lain gagal dikesan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, siasatan lanjut mendapati suspek yang ditahan itu berumur 32 tahun dan berasal dari Sungai Beruang, Kalimantan Barat, Indonesia.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan tentera kemudian merampas sebuah motosikal ‘scrambler’ tanpa nombor pendaftaran dan sebuah motosikal Honda yang menggunakan nombor pendaftaran Indonesia.

“Suspek dan motosikal yang dirampas itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk tindakan lanjut,” ujarnya. ā€” DayakDaily