Pasukan lumba basikal Sukma Sarawak giat jalani latihan

Abdul Karim melepaskan peserta bagi kategori lelaki terbuka di Jalan FAC-Politeknik Matang.

KUCHING, 16 Jan: Sarawak memiliki pasukan bayangan bagi membawa cabaran negeri di dalam acara lumba basikal pada Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur tahun ini.

Menurut Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, atlet-atlet lumba basikal ini sedang giat menjalani latihan ketika ini.

“Jumlah sebenar atlet yang akan bertanding akan ditentukan apabila menghampiri tarikh Sukma Kuala Lumpur nanti,” katanya pada sidang media selesai merasmikan Kejohanan Lumba Basikal Piala Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di sini, hari ini.


Tambah Abdul Karim, Sarawak masih belum memutuskan jumlah keseluruhan atlet kerana acara rasmi yang akan dipertandingkan di Sukma Kuala Lumpur 2022 belum dimuktamadkan.

Katanya, ini berikutan penarikan diri Johor sebagai tuan rumah yang kini diambil alih oleh Majlis Olimpik Malaysia.

Berhubung kejohanan lumba basikal yang dirasmikan hari ini, Abdul Karim berkata ia memberi peluang kepada Sarawak untuk mencungkil bakat baru di dalam sukan tersebut.

“Sekiranya pemenang di dalam lingkungan umur yang ditetapkan, mereka boleh menyertai pasukan Sukma Sarawak.

“Tetapi ini terpulang kepada jurulatih sukan berbasikal negeri,” katanya.

Kejohanan Lumba Basikal Piala Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang berlangsung selama 2 hari sejak semalam melibatkan 15 acara dan disertai lebih 400 peserta.

Saingan berlangsung di Jalan FAC-Politeknik Matang yang dianjurkan oleh Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) dan Persatuan Berbasikal Bahagian Kuching (KDCA).

Ia turut disokong oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak dan mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta para penaja. ― DayakDaily