Oleh Dean Adam
SIBU, Nov 11: Pasukan bomba dan penyelamat menjalankan operasi khas mengambil dan mengangkat mayat seorang wanita di Rumah Panjang Suria, di Jalan Rantau Panjang di sini hari ini.
Sebelum itu, pihak bomba menerima laporan seorang wanita, 55, disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.01 petang.
Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di Sungai Batang Igan.
“Sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi khas itu.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati mangsa sudah meninggal dunia sebelum membawa mayat wanita berkenaan ke rumah panjang,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama memberitahu, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, operasi khas tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 5 petang.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily