Pasukan bomba guna khidmat jengkaut pecah dinding gudang yang terbakar

Pasukan bomba menggunakan khidmat jengkaut untuk memecah dinding gudang berkenaan.

KUCHING, Okt 1: Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan khidmat jengkaut untuk memecah dinding sebuah gudang peralatan sukan yang terbakar di Jalan Pending di sini hari ini.

Tidak cukup dengan itu, pasukan bomba turut mengambil masa kira-kira 18 jam untuk memadamkan kebakaran di gudang berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 10.44 malam.

Katanya, komander operasi kanan kemudian melaporkan kebakaran itu melibatkan tiga bahagian blok di dalamnya.

“Bahagian tengah gudang itu telah terbakar 100 peratus iaitu melibatkan timbunan kotak-kotak, manakala bahagian belakang terbakar 70 peratus.

“Pihak bomba telah berjaya masuk ke dalam bangunan tersebut bagi memadamkan kebakaran yang marak dan berjaya mengawal kebakaran itu dari merebak ke bangunan bersebelahan,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Tiong menambah, pasukan bomba telah beroperasi dalam tiga syif iaitu melibatkan lebih 70 anggota, tiga jentera pemadam api dan sebuah ‘prime mover water tanker’.

Jelasnya, tiga balai bomba telah terlibat dalam operasi berkenaan iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, BBP Padungan dan BBP Batu Lintang,

“Pasukan bomba juga telah bertindak menyembur ‘foam’ dalan usaha memadamkan kebakaran dan bara api di situ.

“Sehingga pukul 6 petang tadi, operasi penyejukan masih dilakukan dan pasukan forensik kebakaran masih menyiasat punca kebakaran itu,” katanya. — DayakDaily