KUCHING, Julai 2: Bekas Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berharap agar Baru Bian yang dilantik sebagai menteri yang baharu akan memastikan projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah diteruskan seperti yang dirancang dan diluluskan kerajaan terdahulu demi kemudahan rakyat di kedua-dua negeri ini.
Beliau berkata ini kerana projek lebuhraya Pan Borneo tanpa tol itu bukan sahaja akan menghubungkan bandar-bandar utama di sepanjang jalan persekutuan di Sarawak dan Sabah, malah menjadi pemangkin kepada kemajuan bandar-bandar tersebut.
Tambahnya ia juga akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, menghubungkan pusat-pusat perindustrian seperti pelabuhan, kilang, pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya, membolehkan peluang ekonomi diteroka di kawasan-kawasan berpotensi, menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat serta menjimatkan masa perjalanan dan kos pengangkutan antara bandar-bandar utama.
Selain itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berharap supaya projek utama lain di Sarawak seperti projek jambatan Batang Lupar, jambatan Batang Igan, projek jejambat di persimpangan Jalan Medan-Jalan Tun Hussein Onn, jambatan Batang Rambungan dan projek Jalan Dato Mohd Musa akan diteruskan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Selangau Baru Bian yang telah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu dalam Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan, berkuatkuasa hari ini, Julai 2, 2018.
“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana memilih wakil rakyat dari Sarawak untuk menggantikan tempat saya.
“Perlantikan wakil rakyat dari Sarawak bertepatan dengan keperluan bagi memastikan projek-projek mega seperti Pan Borneo dapat diteruskan dan dilaksanakan dengan jayanya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Fadillah turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atas kerjasama terbaik yang diberikan kepadanya sepanjang menerajui kementerian itu.
“Terima kasih juga kepada Rakan KKR dan pasukan media sosial KKR dan agensi diatas sokongan dan kerjasama sehingga pasukan media sosial KKR dan agensi mendapat pengiktirafan ketika saya bersama KKR.
“Saya berharap supaya kerjasama serupa akan diberikan kepada pengganti saya dan saya mendoakan semoga KKR dan agensi akan terus maju jaya,” katanya. — DayakDaily