Pastikan Jajaran Kuala Melinau – Limbang – Lawas siap pada 2026 — Awang Tengah

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING, 14 Sept: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahukan projek jalan bagi Jajaran Kuala Melinau – Limbang – Lawas siap mengikut jadual.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, tempoh projek tersebut adalah selama 53 bulan dan dijangka akan siap pada tahun 2026.

“Kerajaan Negeri Sarawak telah meluluskan jajaran jalan penghubung Sarawak Link Road (SLR), tanpa melalui Negara Brunei Darussalam yang juga dikenali sebagai Jajaran Kuala Melinau – Limbang – Lawas.


“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.13 Billion bagi melaksanakan Fasa 1, iaitu untuk membina Jalan baharu sepanjang 77 km dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng.

“Semua pihak diseru dapat bekerjasama dengan erat supaya projek ini dapat berjalan dengan lancar dan siap mengikut kualiti dan masa yang ditetapkan,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli memohon supaya disediakan lorong memotong di kawasan menaiki bukit dan kawasan rehat bagi pengguna yang akan menggunakan jalan tersebut kelak.

Dengan siapnya jalan ini nanti katanya, maka lengkaplah jaringan jalan penghubung dari Kuching ke Limbang/Lawas dan seterusnya ke Sabah tanpa melalui Negara Brunei Darussalam.

Pada 10 September lepas, Awang Tengah telah mengikuti satu taklimat berhubung pelaksanaan projek tersebut yang disampaikan oleh pegawai di Jabatan Kerja Raya(JKR). — DayakDaily