KUCHING, 20 Mac: Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) mengingatkan ibu bapa untuk lebih memberikan perhatian serta sokongan kepada belia dan remaja agar mereka tidak beralih kepada bahan terlarang untuk mendapatkan perhatian.
Setiausaha Agungnya Raja Azizan Suhaimi berkata, bahan terlarang seperti dadah kini muncul dalam pelbagai medium baru yang sukar untuk dikenal pasti.
“Ia seperti dadah jenis vape mushroom, atau air kosong yang diletakkan dadah jenis ice atau syabu, atau jualan air daun ketum yang dilihat seperti air tebu, atau permasalahan hidu gam yang boleh diperolehi di pasar raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Raja Azizan, kebanyakan dadah jenis hybrid dan baru ini akan meninggalkan kesan kepada kesihatan mental kerana kandungan kimia yang pelbagai ini akan menjurus kepada kerosakan sistem saraf terutamanya otak.
Katanya, ia amat sukar untuk proses rawatan dan pemulihan serta penyelenggaraan berterusan untuk terus bebas dadah.
“Kehadiran dadah sintetik jenis baru ini amat sukar untuk para pemulih atau jurulatih terlatih untuk membantu mereka bebas dadah.
“Namun pemantauan berterusan bertahun-tahun di pusat-pusat pemulihan seperti di bawah seliaan 46 NGO gabungan MASAC tidak akan berputus asa untuk membantu sekiranya pertolongan diperlukan oleh ibu bapa.
“Oleh itu, penting untuk langkah pencegahan awal dimulakan untuk mengelak bermula penagihan bahan terlarang di kalangan belia dan Remaja,” ujar Raja Azizan. — DayakDaily