KOTA SAMARAHAN: Selepas 15 tahun beroperasi di kaki lima sepanjang Jalan Entingan di sini, peniaga boleh menarik nafas lega dengan adanya Pasar Tamu Seri Entingan yang telah mula beroperasi.
Pengerusi Penjaja, Rabiah Eli berkata, Pasar Tamu Seri Entingan menyediakan ruang niaga yang lebih selesa dan teratur kepada peniaga berbanding di tapak lama.
“Kita berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang yang prihatin mengenai masalah yang dialami golongan peniaga di sini.
“Dengan adanya tapak baharu ini kesesakan yang timbul akibat tapak perniagaan yang tidak teratur khasnya pada masa puncak dapat diatasi,” katanya.
Malah, katanya, bagi kemudahan dan keselesaan kepada peniaga Bang Dris turut bermurah hati untuk menyumbangkan kanopi secara percuma kepada peniaga.
Pasar Tamu Seri Entingan di bawah Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di belakang tapak asal menempatkan seramai 34 peniaga yang menjual hasil sayur-sayuran, ikan, ayam,kuih-muih dan sebagainya.