Pasar Serikin sumber rezeki warga Sambas

Pasar Serikin meriah, sumber rezeki peniaga dan syurga beli belah.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

BAU, 25 Mei: Demi menjana pendapatan, peniaga dari Sambas di Kalimantan sanggup menempuh tiga jam perjalanan ke Serikin pada setiap Jumaat.

Bagi Iswan Bumi, Pasar Serikin menjanjikan rezeki jika dibandingkan hanya duduk tidak melakukan apa-apa di rumah.

Advertisement

Beliau yang menjual produk makanan kering menyifatkan Serikin sebagai sebuah kawasan tumpuan utama masyarakat pada setiap hujung minggu.

“Di Serikin ada ramai pengunjung, pendapatan daripada hasil jualan agak lumayan.

“Kita dari Sambas sanggup datang ke sini, bertolak pada awal pagi Jumaat.

“Di sinilah rezeki kita pada setiap hujung minggu,” katanya ketika ditemui di Pasar Serikin hari ini.

Tambah Iswan, setelah ditolak bayaran tambang sewa kereta pergi balik dan caj lain, pendapatan daripada hasil jualan agak lumayan.

Dengan agak keberatan beliau berkata pendapatan bersih daripada berniaga selama 2 hari di Pasar Serikin mencecah lebih RM300.

Iswan menjual makanan kering.

Sementara itu tinjauan DayakDaily mendapati aktiviti tawar menawar di pasar tersebut agak unik.

Pengunjung yang rata-ratanya warga tempatan semestinya inginkan harga serendah mungkin bagi barangan yang diminati.

Aktiviti ini mewujudkan satu persefahaman, tolak ansur dan keakraban di antara rakyat kedua-dua negara.

Peniaga kelihatan memberikan diskaun sehingga RM5 bagi barangan terpilih yang dibeli.

Pasar Serikin dibuka pada setiap hujung minggu iaitu daripada 6 pagi sehingga 6 petang pada hari Sabtu manakala 6 pagi sehingga 12 tengah hari pada setiap hari Ahad. — DayakDaily

Aktiviti tawar menawar di gerai pakaian tradisional di Pasar Serikin.
Advertisement