Pasar Awam Kota Padawan hanya catat Indeks Tikus Tahap 1, pantauan berterusan dijalankan

Lo (tiga dari kanan) memegang poster bersama peserta lain dalam Kempen Kebersihan Gotong-Royong Pembersihan Pasar Awam di Pasar Awam Kota Padawan, Batu 10 hari ini (1 Ogos 2022).

KUCHING, 1 Ogos: Pasar Awam Kota Padawan hanya mencatatkan kadar Indeks Tikus Tahap 1 iaitu tahap rendah, namun tindakan kawalan dan pemantauan perlu dijalankan secara berterusan bagi mengelakkan kehadiran tikus pada masa depan.

Berdasarkan Garis Panduan Kawalan Tikus di Pihak Berkuasa Tempatan, Indeks Tikus mempunyai lima skala iaitu Skala 0a – tiada tikus di perangkap dan tiada tanda infestasi, Skala 0b – tiada tikus tetapi ada tanda infestasi, Skala 1 – 1 hingga 10 anggaran tikus ditangkap dalam masa 7 hari, Skala 2 – 11 hingga 25 tikus ditangkap, dan Skala 3 – 26 dan lebih tikus ditangkap.

Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dalam satu kenyataan hari ini berkata bagi mengelakkan pembiakan tikus dan penyakit-penyakit bawaan tikus seperti leptospirosis, Kempen Kebersihan Gotong-Royong Pembersihan Pasar Awam telah diadakan di Pasar Awam Kota Padawan, Batu 10 pada hari ini.


Pengerusi MPP Lo Khere Chiang telah hadir untuk merasmikan program berkenaan.

Sebagai meningkatkan lagi tahap kesedaran penjual dan orang awam, mengenai bahayanya penyakit bawaan tikus, hebahan di media turut dilakukan seperti di Facebook MPP, edaran risalah penyakit kencing tikus dan pemasangan poster.

Pada masa yang sama, para penjual di pasar awam dan orang ramai digesa mengambil bahagian dalam kempen kawalan tikus dengan sentiasa mengamalkan kebersihan di tempat jualan dan kediaman masing-masing bagi mengelakkan penyakit bawaan tikus kerana penyakit ini boleh menyebabkan kehilangan nyawa kepada pesakit sekiranya lambat dirawat. – DayakDaily