Pasangan kekasih ditangkap, disyaki terlibat dadah di Kuching

Pasangan kekasih yang ditangkap bersama dadah di MJC

KUCHING, 19 Jun: Sepasang kekasih ditangkap disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan ke atas sebuah bilik sewa di MJC, Batu Kawa semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata kedua-dua suspek berusia 40 tahun itu ditangkap apabila pasukan serbuan menemui dadah jenis syabu seberat 5.16 gram di dalam bilik yang didiami mereka.

Jelasnya, dadah tersebut ditemui disembunyikan di dalam beg kecil dipercayai milik seorang daripada suspek.

“Terdapat satu paket plastik lutsinar yang didalamnya mengandungi paket-paket plastik kecil mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.16 gram dianggarkan bernilai RM400.

“Kedua-dua suspek juga didapati positif dadah selepas menjalani saringan awal air kencing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. — DayakDaily