PAS Sarawak gesa bekas ADUN Pujut dilucutkan taraf warganegara Malaysia

Jofri Jaraiee

KUCHING, Feb 11: PAS Sarawak hari ini menggesa agar taraf warganegara bekas ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon dilucutkan serta merta.

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa Dewan Undangan Negeri Sarawak ada kuasa melucutkan kelayakan Dr Tiong sebagai ADUN Pujut kerana dakwaan memiliki dua kewarganegaraan.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee satu menerusi kenyataan media berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan di mana badan perundangan negeri Sarawak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Dr Ting sebagai ADUN Pujut.


“Keputusan ini harus diingat bahawa orang yang tinggal di Sarawak harus mematuhi undang-undang dan tidak bermain dengan hak kewarganegaraan mereka.

“PAS Sarawak menggesa agar dia dilucutkan kewarganegaraan mengikut peruntukannya(1) Perkara 24,” katanya.

Tambah Jofri, jika kerajaan persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara lain, maka kerajaan persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

Disamping itu, beliau berpendapat ini satu penipuan kepada rakyat Sarawak.

Justeru, beliau menyifatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) jelas tidak bertanggungjawab dengan menipu rakyat di DUN Pujut terutamanya apabila menyembunyikan kerakyatan dua negara ADUN (Dr Ting) mereka.

PAS Sarawak, menurut Jofri, turut mendesak kerajaan negeri untuk menilai kedudukan semua elaun dan peruntukan yang telah diambil oleh Dr Ting ini selama tempoh beliau menjadi ADUN.

Pada perbicaraan hari ini, Hakim Abdul Rahman Sebli yang menyampaikan keputusan itu berkata, mahkamah tidak boleh mempersoalkan keputusan DUN.

Katanya, Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan mengecualikan mahkamah daripada mempersoalkan keputusan DUN.