KUCHING, Mac 23: PAS Sarawak mengalu-alukan pengumuman bantuan RM250 setiap bulan yang dikenali sebagai Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Open sebentar tadi.
Ketua penerangannya, Zharudin Narudin berkata, bantuan secara bulanan selama enam bulan itu diberikan kepada golongan B40.
“Mereka adalah golongan yang sangat teruk terjejas kerana ramai juga dikalangan mereka adalah peniaga-peniaga kecil dan melakukan kerja-kerja kampung.
“Sudah tentu mereka telah terputus sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Beliau juga menyifatkan usaha kerajaan Sarawak dengan bantuan tersebut adalah satu langkah yang sangat tepat.
Katanya, langkah itu adalah contoh kejayaan pelaksanaan slogan “Utamakan Sarawak” oleh kerajaan negeri.
Disamping itu, Zharudin juga menganggap inisiatif kerajaan persekutuan dimana pencarum KWSP boleh mengeluarkan wang simpanan mereka sehingga RM500 sebulan juga tepat pada waktunya.
“Ini akan menjadi tambahan pula kepada mereka yang memiliki caruman tersebut.
“Sudah pasti melalui inisiatif yang baik dari kerajaan ini, individu diharapkan mengutamakan sara hidup seperti makanan, sewa rumah atau bil-bil utiliti terlebih dahulu.
“Perbelanjaan yang lain seperti pinjaman bank, anda dinasihatkan agar memohon untuk mendapatkan tangguhan bayaran sepertimana yang telah diberikan oleh kebanyakan institusi perbankan,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang sahih dan bukan berita palsu berhubung Covid-19. — DayakDaily