PAS: Bajet 2020 gagal untuk Sarawak

Zharudin Narudin

KUCHING, 12 Oktober: Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) gagal memenuhi manifesto dalam pilihan raya umum ke-14 lalu dalam Bajet 2020, jelas Ketua Penerangan PAS Sarawak Zharudin Narudin.

“Sudah dijangkakan PH gagal memenuhi janji manifestonya sekali lagi apabila belanjawan 2020 yang diumumkan pada 11 Oktober gagal memenuhi tuntutan janji mereka kepada rakyat terutamanya Sarawak.

“Dalam belanjawan kali ini, sekali lagi PH Sarawak gagal untuk mendapatkan seperti janji 50 peratus dari cukai dipungut dan 30 peratus dari peruntukan pembangunan untuk diberikan kepada Sarawak,” kata Zharudin hari ini.


Menurutnya, hanya RM4.4 biliun peruntukan pembangunan diberikan kepada Sarawak berbanding Sabah yang menerima peruntukan RM5.1 biliun.

“Jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan ialah RM56 biliun dan Sarawak hanya menerima 7.8 peratus sahaja. Keseluruhan Sarawak dan Sabah pula hanya menerima 17 peratus sahaja iaitu jauh dari sasaran 30 peratus seperti manifesto PH dalam pilihan raya umum ke-14 lalu,” katanya.

Zharudin menjelaskan bahawa banyak lagi tumpuan semua pihak untuk belanjawan kali ini seperti peruntukan jelas untuk membantu golongan berpendapatan rendah di luar bandar yang masih kabur dalam belanjawan tersebut.

“Dalam pembentangan Bajet semalam juga menyebut tentang kajian semula peruntukan persekutuan kepada negeri, iaitu dibawah Artikel 112D.

“Artikel ini membolehkan kerajaan membuat kajian semula pemberian kepada kerajaan negeri. Kali terakhir semakan dibuat pada 1969 iaitu RM16 juta. Angka kenaikan dari RM4 juta ke RM8 juta pada tahun 1963 menunjukan trend kenaikan sekali ganda.

“Semakan semula sepatutnya dibuat juga kepada baki semakan yang tertangguh sejak 1969 sehingga 2019 dan bukannya semakan dengan kenaikan sekali ganda yang hanya bermula tahun 2020 kelak,” katanya.

Justeru, Zharudin merumuskan bahawa PH dengan jelas telah gagal dalam misi mengembalikan hak Sarawak yang dinafikan selama ini didalam persekutuan.

“Oleh itu, PAS komited untuk bersuara dalam perbahasan Bajet ini kelak bersama dengan rakan pembangkang yang lain bagi memastikan rakyat Sarawak terdekat dan tidak mudah tertipu dengan dakyah PH,” tambah Zharudin.— DayakDaily