Parti politik diseru untuk menekankan pemuliharaan alam sekitar dalam aspirasi mereka

Iqbal (kiri), Hon (kanan) serta wakil NGO yang lain pada sidang media di Kuching.
Advertisement

KUCHING, April 11: Parti-parti politik di negara ini digesa untuk mengutamakan pembangunan alam sekitar yang mampan dalam manifesto mereka, bagi membolehkan orang awam menunjukkan kepada ahli politik tentang perkara-perkara alam sekitar yang mereka bimbangkan.

Pengerusi Persatuan Alam Semulajadi Malaysia (MNS) Miri, Iqbal Abdollah berkata berdasarkan kaji selidik dalam talian yang dijalankan antara Februari dan Mac tahun ini, 84 peratus daripada 1,603 responden telah menyatakan minat mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aspirasi alam sekitar parti politik untuk negara.

“Malah, 69 peratus responden telah mengatakan mereka akan mempertimbangkan alam sekitar sebagai salah satu faktor yang boleh menentukan undi mereka semasa pilihan raya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Advertisement

Iqbal menambah sebilangan besar responden turut menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pencemaran sungai dan laut, penebangan hutan atau pembalakan haram, pembuangan sampah yang tidak dikendalikan atau dikitar semula dengan betul, kemusnahan alam semulajadi untuk pembangunan termasuk perubahan iklim, pemanasan global serta cuaca ekstrem.

Sementara itu, ketua program World Wildlife Fund (WWF) Malaysia Sarawak, Dr Jason Hon merayu kepada ahli politik dari semua parti politik termasuk calon bebas untuk mengiktiraf aspirasi alam sekitar rakyat khususnya golongan belia.

Menurut beliau, amat menyedihkan apabila aspirasi alam sekitar yang disuarakan oleh rakyat seakan-akan dipandang sebelah mata oleh ahli-ahli politik.

Katanya, ia apabila ‘surat terbuka’ yang ditandatangani oleh 18 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang diterbitkan di laman web WWF-Malaysia pada Januari lalu untuk menyeru ahli-ahli politik memberi lebih penekanan ke arah pemuliharaan alam sekitar, tidak mendapat respon dari mana-mana parti politik setakat ini.

“Saya percaya mesej NGO ini telah sampai kepada mereka (parti politik) dan oleh sebab itu, kami merayu kepada semua ahli politik untuk memberitahu pengundi tentang bagaimana mereka akan berusaha ke arah merealisasikan aspirasi alam sekitar untuk kepentingan rakyat dan apa yang akan mereka lakukan dalam 100 hari pertama jika dipilih membentuk kerajaan,” katanya.

Hon menegaskan aspirasi alam sekitar adalah amat penting untuk mencapai pembangunan dengan cara yang mampan serta mengimbangi pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan alam semulajadi.

Kaji selidik dalam talian mengenai aspirasi alam sekitar kini masih dibuka dan bagi mereka yang berminat untuk menyuarakan pandangan boleh mengaksesnya melalui http://www.bit.ly/GE14envSv. — DayakDaily

Advertisement