Parti Bersatu rakan kerjasama GPS, jelas Ketua Armada Sarawak

Alexander ketika berucap pada majlis perasmian Penyerahan Tanaman Kontan anjuran Bersatu Bahagian Bintulu dengan kerjasama sayap Pemuda (Armada) dan Srikandi Bersatu Bahagian Bintulu, di sebuah rumah panjang di DUN Sebauh, Bintulu semalam (13 Dis, 2020).

KUCHING, 14 Dis: Parti Bersatu adalah rakan kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak melalui persafaman dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), jelas Ketua Armada (Pemuda) Parti Bersatu Negeri Sarawak Alexander Frusis.

Tambah beliau, kehadiran Bersatu di Sarawak bukan untuk mewujudkan sengketa atau menganggap GPS sebagai lawan dalam politik namun lebih kepada menawarkan khidmat kebajikan yang lebih mampan lagi kepada rakyat Sarawak, terutamanya penduduk luar bandar.

“Justeru itu, Parti Bersatu adalah rakan kerjasama GPS di negeri ini dalam sebuah kerajaan PN. Dalam masa yang sama, Bersatu Sarawak berharap kestabilan politik di negeri ini harus dipelihara oleh semua parti politik tanpa mengira latar belakang parti,” kata Alexander.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Penyerahan Tanaman Kontan anjuran Bersatu Bahagian Bintulu dengan kerjasama sayap Pemuda (Armada) dan Srikandi Bersatu Bahagian Bintulu.  Pada majlis tersebut, Alexander mewakili Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

Tambah Alexander lagi, Bersatu Sarawak kecewa dengan tuduhan yang telah dilemparkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengatakan Bersatu adalah parti pembangkang di Sarawak.

“Oleh itu, saya berharap semua rakyat Sarawak khususnya di kawasan Bintulu tidak mudah percaya dengan khabar berita yang tidak logik ini,” jelas beliau.

Alexander juga menyeru supaya rakyat Sarawak terus berdiri teguh dibelakang Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta kerajaan PN supaya rakyat Sarawak terus mengecapi pembangunan yang berterusan daripada kerajaan persekutuan dan negeri.

Alexander (kiri) bersama Duke (tiga kiri) memberi sumbangan kepada penduduk di sebuah rumah panjang di DUN Kemena, Bintulu.

Dalam majlis tersebut, Lt Madya (B) Duke Janteng, Ketua Bahagian Bintulu merangkap Ketua Penerangan Bersatu Sarawak telah menyerahkan pelbagai bantuan berskala kecil dengan nilai keseluruhan RM57,000 kepada penduduk luar bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena seperti barang-barang keperluan untuk membina rumah, bantuan bakul makanan, peralatan memasak kepada JKKK biro wanita disekitar rumah panjang Sebauh, Kemena.

Selain itu, sebanyak 400 unit Bakul Pertanian juga telah berjaya diserahkan kepada peserta yang terpilih, bakul pertanian tersebut mengandungi pelbagai biji sayur-sayuran yang bernilai RM100 setiap satu. — DayakDaily