Parlimen Sibu teruk dibawah pembangkang, kata Abang Johari

Abang Johari di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sibu.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Nov: Kawasan Parlimen Sibu sudah beberapa tahun teruk dibawah kuasa pembangkang, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sibu malam ini, Abang Johari berkata wakil-wakil rakyat di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dari pihak pembangkang hanya kuat bercakap tetapi tidak bekerja.


Justeru, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyeru rakyat Sibu membuat perubahan dengan menyokong calon GPS Clarence Ting pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Dia (Clarence) sebagai Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu memang betul-betul kerja kuat punya orang, dan saya cakap Clarence boleh tidak ‘you’ tolong Sibu.

“Kalau ‘you’ mahu, tolong bawa Sibu pergi Parlimen, dia balas saya tidak mahu. Saya teruskan lagi, kalau ‘you’ sayang Sibu, berjuanglah untuk Sibu.

“Tetapi saya tahu dia punya hati memang mahu tolong orang Sibu,” kata Abang Johari.

Di majlis tersebut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sibu kerana telah memberi sokongan kepada GPS pada PRN lepas dimana GPS menang 76 daripada 82 kerusi.

Katanya, kini kita ingin merampas semula kerusi Sibu demi manfaat rakyat.

“Saya fikir orang Sibu sudah tahu apa yang kita buat dan pada PRU15 ini kita mahu Clarence menang,” ujar Abang Johari.

PRU15 di Parlimen Sibu kembali mencatatkan pertembungan yang sengit tiga penjuru antara Clarence, penyandangnya dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Oscar Ling, dan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh.

Kawasan Parlimen Sibu mula dipertandingkan pada tahun 1978 pada PRU ke-5 yang dimenangi oleh bekas Presiden SUPP dan Timbalan Ketua Menteri mendiang Tan Sri Dr. Wong Soon Kai.

Bagaimanapun selepas sembilan kali pilihan raya umum, kawasan Parlimen Sibu berjaya ditakluki DAP pada tahun 1982, 2010, dan 2013 hingga kini. — DayakDaily