Paras air di loji rawatan Selalang dan Tatau pada tahap amaran

Keadaan air yang cetek di kawasan Loji Rawatan Air Selalang.

KUCHING, Sept 20: Berikutan cuaca panas dan kering yang berterusan di Sarikei, paras air Sungai Lalang di Loji Rawatan Air Selalang telah berada pada tahap amaran.

Menurut Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, tekanan air yang rendah akan dialami oleh penduduk di seluruh kawasan Kerubong dan Selalang.

“JBALB Bahagian Sarikei akan menyalurkan bekalan air ke kawasan Selalang menerusi tangki aras tinggi R8 pada sebelah malam bermula jam 10 sehingga 3 pagi keesokan hari.

“Pihak JBALB Bahagian Sarikei juga akan membuat penghantaran air menggunakan tanker ke kawasan-kawasan yang terjejas,” kata JBALB dalam satu kenyatan media, hari ini.

Segala perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa di laman Facebook rasmi JBALB Sarawak dan Facebook JBALB Bahagian Sarikei.

Sementara itu, JBALB juga melaporkan paras air di Loji Rawatan Air Tatau sudah menghampiri tahap amaran ekoran cuaca panas dan kering yang berterusan.

Oleh itu, pihak JBALB Bahagian Bintulu akan mengurangkan pengeluaran bekalan air di kawasan Tatau dan sekitarnya.

“Kami (JBALB) memohon kepada semua pengguna untuk membuat simpanan air yang secukupnya sekiranya gangguan bekalan air berlaku. Kami juga memohon kepada pengguna untuk menggunakan air secara berhemah dan menjimatkan penggunaan air.”

Kata JBALB, didikan tentang kepentingan menjimatkan air dalam apa urusan mesti diperhebatkan agar krisis air tidak berpanjangan.

Sebarang aduan dan pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Ibu Pejabat JBALB Sarawak di talian 082-263078 atau menghubungi Mohd Alif Ali di talian 017-8570511. — DayakDaily